JASIN: Seorang pelanggan berdepan situasi menjijikkan selepas mendapati nasi kerabu yang dibelinya di Bazar Ramadan Jasin Bestari di sini, berulat.
Kejadian yang berlaku semalam dikongsikan menerusi laman sosial Facebook Geng Bandar Jasin Bestari melalui klip video berdurasi lapan saat yang jelas menunjukkan empat ekor ulat sedang merayap dalam nasi kerabu berkenaan.
“Bayangkan, kita beli makanan untuk berbuka puasa dengan penuh keterujaan, tapi bila nak makan, nampak ulat berkeliaran dalam nasi. Tak berkat cari rezeki dengan menganiaya pelanggan macam ni,” luahnya dengan nada kecewa.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dengan hampir 200 reaksi, 157 komen dan 42 perkongsian semula. Rata-rata warganet menyuarakan perasaan kurang senang dan mendakwa ia mungkin berpunca daripada sikap peniaga yang menjual semula makanan tidak habis dari hari sebelumnya.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, pihaknya akan menyemak dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya, jika ia terbukti benar.
“Saya akan semak dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan sebarang maklumat lanjut akan disampaikan segera,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN