GEORGE TOWN: Kerajaan negeri telah menyerahkan beberapa nama untuk dicalonkan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi pertimbangan Seri Paduka.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, proses pelantikan jawatan itu adalah tertakluk kepada budi bicara Seri Paduka, sama ada penyandang sedia ada akan dilanjutkan atau seorang calon baharu dilantik.
“Seperti yang kita tahu, Yang Dipertua Negeri dilantik untuk satu penggal selama empat tahun dan penggal ini akan tamat pada 30 April 2025.
“Kalau dilanjutkan, dia (penyandang) juga perlu melalui proses pelantikan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kalau tidak dilanjutkan, maka perlu satu pelantikan baharu, semua bergantung kepada Perlembagaan Negeri,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, timbul desas-desus mengenai nama-nama calon yang bakal menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang dilantik memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2021.
Antara nama yang disebut-sebut ialah bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri telah menjalankan tanggungjawab dengan menghantar cadangan nama calon kepada PMO setelah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Ini adalah peranan kita dan ia telah dilakukan. MMKN telah bersetuju dan surat telah dihantar kepada PMO untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ketika ditanya kemungkinan Ahmad Fuzi dikekalkan, Kon Yeow berkata, beliau tidak mahu menyentuh perkara yang berada di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN