Najib tidak tahu apa-apa pelaburan TIA

Najib tidak tahu apa-apa pelaburan TIA

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil masa kira-kira empat bulan untuk mengeluarkan kertas kabinet berhubung penubuhan dan pelaburan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) menunjukkan beliau sebenarnya tidak tahu apa-apa.

 

Menurut bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, sekiranya Najib benar-benar ingin mengambil alih TIA, bekas Menteri Kewangan itu tidak perlu tunggu sebegitu lama.

 

“Kalau tengok kertas Kabinet yang pertama pada 12 Disember 2008 (berhubung penubuhan TIA), masa itu Perdana Menteri ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi. Empat bulan kemudian, baru Menteri Kewangan membentangkan memorandum mengenai TIA. 

 

“Ini bermakna masa Najib jadi Menteri Kewangan, dia pun ‘blank’ (fikiran kosong), tak tahu apa. Kalau tak, takkan dia (Najib) tunggu empat bulan (untuk bentang memorandum). 

 

“Kalau dia memang nak ambil alih dari awal, lepas Kabinet bagi kelulusan, paling lama akan ambil masa sebulan untuk bentangkan. Kalau betul dia nak buat dan dah `prepare’ (sedia) awal, hari ini Kabinet luluskan, minggu depan (Najib) dah boleh bentang,” katanya.

 

Noh yang merupakan saksi pembelaan ke-15 berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini.

 

Najib kini sedang membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

 

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, bekas menteri terbabit bersetuju bahawa Sultan Mizan perkenan untuk meneruskan pinjaman bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion selepas mendengar pandangan daripada Najib.

 

Pada perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa Sultan Mizan menitahkan terbitan IMTN digantung dan ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi dipatuhi.

 

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya turut memberitahu bahawa Najib telah memintanya meneruskan penerbitan bon tersebut dan menyatakan ‘you go ahead, I will talk to Tuanku’ (Kamu teruskan, saya akan cakap dengan Tuanku).

 

Selain itu, Noh menyatakan Najib tidak pernah memaklumkan atau mengisytiharkan sebarang kepentingannya dalam TIA yang kemudiannya ditukar kepada 1MDB selepas diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Perbicaraan di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya