Najib terkejut duit RM42 juta masuk akaun

Najib terkejut duit RM42 juta masuk akaun

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: `My God’. Itu ungkapan yang diucapkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengetahui bahawa sejumlah RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya atas arahan bekas pengurusan tertinggi Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M).

Saksi pembelaan ke-14, bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (IPSB), Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman ketika membaca penyataan saksinya memberitahu reaksi itu didengar ketika menerima panggilan daripada Najib ketika berada di London.

Ujarnya, Najib menelefonnya bagi mendapatkan kepastian sama ada beliau (Dr. Shamsul Anwar) ada mendepositkan wang ke dalam akaun dalam tiga transaksi.

Dalam perbualan tersebut, Dr. Shamsul Anwar memberitahu wang tersebut didepositkan olehnya atas arahan Pengarah Projek YR1M, Dennis See Thuan Buan dan Ketua Pegawai Eksekutif YR1M, Ung Su Ling.

Tambahnya, sekiranya beliau bertindak demikian atas tanggapan bahawa wang tersebut akan digunakan bagi program tanggungjawab sosial (CSR).

“Adalah amalan biasa bagi saya untuk memproses pembayaran berdasarkan arahan mereka untuk program CSR. Kalau saya tahu, akaun yang saya masukkan wang tersebut adalah akaun Datuk Seri Najib, saya akan bertanya kepadanya terlebih dahulu,”kata saksi pembelaan ke-14 itu.

Terdahulu, saksi berkenaan menjelaskan IPSB menerima geran berjumlah RM40 juta setiap tahun untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi 1MDB yang diterimanya daripada dua yayasan iaitu Yayasan 1MDB (YIMDB) dan YRIM.

Jumlah RM42 juta itu merupakan jumlah yang diseleweng daripada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn. Bhd. dan Najib telah didapati bersalah atas penyelewengan tersebut.

Bagaimanapun, selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan akaun AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking – MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906, Dr. Shamsul Anwar tidak membuat sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya