SUNGAI SIPUT: Komposisi masyarakat Malaysia mesti digambarkan dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk jawatan penting seperti naib presiden.
Menjelang kemuncak Pemilihan PKR pada Mei ini, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan yakin Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melihat perkara tersebut termasuk mempunyai wakil dari Borneo.
“Empat jawatan naib presiden dipertandingkan dan tiga dilantik. Presiden akan menggunakan kebijaksanaan bagi memastikan tujuh jawatan ini mengisi komposisi kaum supaya suara-suara semua masyarakat itu ada dalam MPP,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Empat penyandang jawatan naib presiden ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tiga yang dilantik ialah Nurul Izzah Anwar; Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy dan Awang Husaini Sahari dari Sabah.
Sementara itu, Kesavan melihat sokongan kaum India terhadap PKR kekal teguh setelah dua tahun Anwar memegang tampuk pentadbiran negara.
“Keseluruhan masyarakat India mempunyai harapan yang besar kerana tempoh pemerintahan Kerajaan Perpaduan ini masih ada tiga tahun. Saya yakin kepemimpinan beliau mendapat sokongan masyarakat India supaya dapat teruskan kesinambungan kepemimpinan,” katanya.
Tambahnya, setiap bulan akan ada masyarakat India menyertai PKR di peringkat Cabang kawasan Parlimennya dan yakin keadaan sama berlaku di tempat lain.
Anwar semasa mengadakan lawatan ke Sungai Siput menyatakan, beliau tidak meminggirkan kaum India yang turut ada dalam kelompok miskin tegar. – UTUSAN