Nahas tujuh maut: Syarikat logistik didakwa bawa lebih muatan

Nahas tujuh maut: Syarikat logistik didakwa bawa lebih muatan

OKS diwakili pengurus operasi syarikat (kemeja putih) hadir di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebuah syarikat logistik yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan tujuh individu pada 23 Disember tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Orang Kena Saman (OKS), Yinson Transport (M) Sdn. Bhd. yang diwakili pengurus operasi, Ng Chee Keong, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa telah melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260 kilogram (kg) iaitu lebihan 16,260 kg daripada had dibenarkan 52,000 kg.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dalam daerah Alor Gajah pada 23 Disember 2024.

Sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda minimum RM1,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kenderaan tersebut dilucutkan hak berdasarkan Seksyen 80(4) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan waran tangkap dikeluarkan sekiranya OKS gagal hadir ke mahkamah.

OKS diwaki peguam, Chew Jee San.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 8 April depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pendakwaan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini berpunca daripada tayar lori yang tercabut.

Tragedi tersebut mengorbankan pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dan seorang penumpang warga Sungapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Turut maut lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima iaitu iaitu Khairul Izwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya