PETALING JAYA: Kemalangan sebuah bas ekspres yang terbabas di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Seremban pagi tadi turut membabitkan kakitangan awam termasuk beberapa orang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR)
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bas tersebut telah memulakan perjalanan dari Melaka pada jam pukul 5 pagi sebelum kemalangan berlaku.
“Saya amat berdukacita di atas insiden kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres di KM 245.5 Lebuhraya Plus dari arah selatan ke utara pagi tadi.
“Saya dimaklumkan, bas ekspres yang membawa kakitangan awam berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur itu telah memulakan perjalanan dari Melaka pada pukul 5 pagi sebelum kemalangan berlaku.
“Berdasarkan maklumat awal, beberapa orang pegawai Jabatan Kerja Raya yang merupakan penumpang bas turut terlibat di dalam kemalangan itu. Namun saya difahamkan semua yang terlibat selamat dan berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati sebuah bas jenis Yutong yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 56 tahun dalam perjalanan dari Melaka Sentral menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi bersama 41 orang penumpang.
“Bas yang bertolak pada pukul 5 pagi itu sepatutnya tiba di TBS pada pukul 7.30 pagi namun apabila sampai di tempat kejadian, bas yang dipandu di lorong kiri dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan melanggar besi penghadang tengah lebuh raya sebelum terbalik masuk ke laluan bertentangan (arah ke selatan).
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu bas dan enam orang penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN