Nabil lebih banyak berzikir sepanjang digantung tugas - Utusan Malaysia

Nabil lebih banyak berzikir sepanjang digantung tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berlapang dada dengan kontroversi yang melanda, pelawak dan penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad kini lebih berhati-hati membuat perkongsian di media sosial.

Malah Nabil, atau Ahmad Nabil Ahmad, 42, reda menerima keputusan pihak stesen radio  merehatkannya daripada bersiaran susulan daripada dakwaan mempersendakan upacara agama Hindu bersama rakan penyampai Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy.

“Apa yang dapat saya katakan, semua pihak kena ambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Pengajarannya, kami juga kena lebih berhati-hatilah membuat video parodi pada masa akan datang,” katanya.

Tambah anak jati Negeri Sembilan itu lagi, dia percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri seperti dapat meluangkan masa melakukan ibadah seperti berzikir sepanjang Ramadan.

“Saya percaya tiada perkara yang tidak baik. Mungkin daripada mata kasar kelihatan seperti tak baik, tetapi ada kebaikan tidak diketahui.

“Jadi, bersangka baiklah kepada Allah, pasti perkara baik-baik akan menyusul, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya tetap menyambung kontrak Nabil biarpun kini dihambat kontroversi.

“Jangan risau, kontrak Nabil tetap disambung, Semua orang buat silap dan Nabil pun sudah meminta maaf. Saya melihat Nabil seorang yang jujur dan ikhlas.

“Saya akan sokong Nabil dan berharap peminat memberi semangat kepadanya.

“Saya dan Nabil sudah 15 tahun bersahabat. Ketika berdepan kesukaran dalam perniagaan ketika pandemik COVID-19, Nabil datang membantu saya. Dia adalah sahabat sejati,” katanya.

Terdahulu, tiga penyampai berkenaan didakwa mencetus kontroversi apabila mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

SKMM tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM. Namun, memutuskan stesen radio berkenaan didenda RM250,000 kerana memuatkan kandungan jelik melampau di TikTok.

Namun, sehingga kini, Nabil, Azad dan Radin masih lagi digantung tugas sehingga siasatan dalaman selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN