SIK: Nahas mengakibatkan sepasang suami isteri maut dipercayai berlaku selepas Perodua Myvi mereka hilang kawalan sebelum bertembung lori di Jalan Kampung Merbau Kudung ke Teloi Timur, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, pasangan terbabit iaitu pemandu Perodua Myvi, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan Intan Suraya Zaidi, 24, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Lokman Hakim merupakan pekerja sebuah kilang di Kulim, dekat sini manakala isterinya, Intan Suraya adalah Eksekutif Pemasaran di Keda Resort Bendang Man.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Mohd. Azizul Khairi berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori membawa muatan batu dalam perjalanan dari Batu Lima ke Bukit Selambau, manakala Perodua Myvi dari bertentangan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, semasa lori sedang bergerak lurus, tiba-tiba Perodua Myvi hilang kawalan lalu masuk ke laluan utama kenderaan berat tersebut.
“Lori berkenaan cuba mengelak ke kanan jalan dan Perodua Myvi juga cuba mengelak ke kiri jalan, namun tetap bertembung,” katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran itu, lori hilang kawalan dan terlanggar tebing di bahu kanan jalan dengan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu dan penumpang Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan jalan di lokasi kemalangan lurus dan terdapat garisan berkembar di tengah jalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Akhbar ini malam tadi melaporkan dua individu dipercayai pasangan suami isteri disahkan maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah lori di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung. -UTUSAN