MyIPO perkenal garis panduan baharu hak cipta karya seni

MyIPO perkenal garis panduan baharu hak cipta karya seni

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperkukuhkan perlindungan hak cipta karya seni tempatan dengan memperkenalkan Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025.

 

Garis panduan itu berkuat kuasa 16 Januari lalu, memastikan organisasi pengurusan kolektif (CMO) beroperasi dengan lebih telus, cekap dan adil.

 

Menurut MyIPO, pengenalan garis panduan ini susulan pindaan Akta Hak Cipta 1987 yang memberi kuasa kepada Pengawal Hak Cipta untuk menggubal dan menguatkuasakan garis panduan bagi memastikan tadbir urus CMO lebih tersusun dan efektif serta  memenuhi keperluan industri jangka panjang.

 

“Pengenalan garis panduan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa ekosistem hak cipta serta memastikan pemantauan yang lebih jelas terhadap CMO. Ia juga untuk industri kreatif negara menjadi lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan.

 

Di bawah garis panduan baharu itu, CMO diwajibkan memastikan pengurusan dalaman adalah mengikut prinsip tadbir urus yang baik dari segi penyelarasan dokumen konstituen, pelantikan lembaga pengarah, serta mekanisme pengundian.

 

Selain itu, ia perlu mengemukakan dokumen pembaharuan pengisytiharan tidak lewat daripada 60 hari.

 

Katanya, garis panduan itu dirangka secara menyeluruh dan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk CMO, pengguna karya hak cipta, penggiat seni dan pihak kementerian.

 

MyIPO juga telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan pengguna, badan penyiaran tempatan, Persatuan Pemunya Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH)  pada 25 Mac lalu.

 

Turut terlibat Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) dan Radio Komersial Malaysia (CRM). 

 

“MyIPO komited menjalankan program advokasi sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna. Ia penting dalam memperkasa industri hak cipta di Malaysia, sejajar dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya