PETALING JAYA: Kekal menjadi sorotan, video muzik lagu Serumpun nyanyian Mimi Fly kini tampil dengan kolaborasi epik bersama sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Menurut Mimi, dia berasa amat teruja apabila lagu raya ciptaannya itu turut mendapat tempat dalam sektor penerbangan.
“Teruja untuk berkongsi kolaborasi epik bersama Air Asia dalam kempen #SerumpunSkyDance,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Perkongsian tersebut turut menuai perhatian dalam kalangan rakan artis dan pengikutnya yang rata-ratanya kagum dengan pencapaian Mimi sejak kebelakangan ini.
“Paling bergema tahun ini dan seteusnya,” komen Atilia Haron.
“Mimi mendunia terbang tinggi di langit biru,” komen seorang pengikutnya.
“Walaupun video muzik asal diturunkan, tapi kali ini lebih menyala,” komen netizen.
Sebelum ini, video muzik lagu Serumpun telah meraih pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya mengkritik etika pemakaian penyanyi itu yang dikatakan seolah berkemban dan tidak sopan.
Terbuka menerima teguran tersebut, Mimi akhirnya memilih untuk menurunkan semula video muzik asal lagu tersebut dan tampil dengan versi baharu yang lebih sopan.
Kagum dengan tindakan tersebut, Mimi turut menuai pujian dari warganet yang rata-ratanya menyifatkannya seorang penyanyi yang baik dan tidak mudah melenting ketika berdepan kritikan.-UTUSAN