Muhyiddin gesa PBT lebih prihatin, beri ruang peniaga kecil berniaga secara sah

Muhyiddin gesa PBT lebih prihatin, beri ruang peniaga kecil berniaga secara sah

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap insiden membabitkan seorang penjaja belon yang didakwa dikasari oleh pihak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan kekasaran sedemikian tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan yang mulia, apatah lagi penjaja tersebut hanya mencari rezeki dengan menjual belon di tepi jalan.

“Saya menonton video mengenai seorang penjaja belon dipercayai telah dikasari oleh pihak penguat kuasa yang viral di media sosial. Saya berasa sedih melihat insiden ini lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Tidak wajar kekasaran sebegitu rupa digunakan ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan penularan satu rakaman video berdurasi hampir seminit di laman sosial yang memaparkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL menolak dan menjatuhkan seorang penjaja belon, sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan terbabit.

Muhyiddin berkata, menjelang musim perayaan, ramai peniaga kecil mencari peluang untuk menambah pendapatan bagi menampung kehidupan seharian dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Tambahan pula dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, inilah masanya untuk mereka menambah sedikit pendapatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih prihatin, peka dan berhemah dalam menangani isu penjaja kecil, khususnya pada musim perayaan.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan hendaklah lebih prihatin, peka dan berhemah. Cubalah cari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan tertentu.

“Lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad,” ujarnya.

Muhyiddin turut mengimbas kembali pendekatan mesra rakyat yang pernah dilaksanakan semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional melalui inisiatif Wilayah Bebas Berniaga.

“Semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen-lesen sementara kepada para penjaja bagi suatu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan.

“Inisiatif ini dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan yang sama boleh dilaksanakan semula oleh kerajaan bagi membantu rakyat yang kini terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

“Dengan adanya kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup.

“Yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat. Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya