PUTRAJAYA: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihaknya tidak dapat mendapat sebarang penjelasan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perjanjian usaha sama pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).
Menurut saksi pembelaan ke-11, bekas pegawai polis, R. Rajagopal, ia berikutan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghalang pihaknya berbuat demikian.
“Siasatan saya berpandukan atas keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah (berhubung pelaburan) membabitkan PetroSaudi Holdings Cayman (sebuah syarikat yang kononnya merupakan anak syarikat PSI).
“Sama ada Datuk Seri Najib ada memberi arahan (mengenai pelaburan tersebut), saya ada memohon untuk merakam keterangan Datuk Seri Najib ketika itu tetapi peguam, Tan Sri Muhammad Shafee telah menyuarakan bantahan kerana katanya Datuk Seri Najib ketika itu telah dituduh di mahkamah.
“Jadi beliau (Muhammad Shafee) membantah polis merakam kenyataan Datuk Seri Najib,” katanya yang sebelum ini ialah pegawai penyiasat yang menyiasat berhubung pertuduhan pecah amanah berkait skandal penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib.
Najib dituduh di mahkamah atas tuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. pada 4 Julai 2018 manakala beliau dituduh bagi penyelewengan dana 1MDB pada 20 September 2018.
Menurut kes pendakwaan, satu usaha sama palsu antara 1MDB dan PSI dikenali projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB PetroSaudi Limited.
Wang itu adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama, di mana PSI memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai yang diragukan.
Bagaimanapun, usaha sama itu tidak dimasuki dengan PSI, sebaliknya melalui satu syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd dan Tariq Obaid (kenalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.