PUCHONG: “Ketika awal penempatan dahulu, Angah ada mengadu tidak tahan dan mahu berhenti secara baik”.
Itu luahan ibu kepada Prebet Muhammad Muqriz Aseri, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan dalaman selepas didera anggota senior di kem di Miri, Sarawak, Isnin lalu.
Nor Azlina Zambri, 45, berkata, anak keduanya itu tidak pernah bercerita mengenai sebarang kejadian sepanjang berkhidmat dalam tentera termasuk di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri.
Namun, sebaik tiba di Sarawak ketika awal penempatan, Allahyarham ada menyatakan keinginan untuk berhenti kerana tidak tahan tetapi terus bertahan selepas diberikan kata-kata semangat oleh keluarga.
Menurutnya, Muhammad Muqriz sangat meminati bidang ketenteraan dan berjaya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas dua kali percubaan.
Dia sudah bertugas selama 10 bulan di kem berkenaan dan sentiasa meyakinkan keluarga bahawa kehidupannya di sana dalam keadaan baik.
“Setiap kali ditanya, dia akan cakap semua baik. Cuma seminggu selepas sampai di Sarawak, dia ada mengadu tidak tahan dan mahu berhenti secara baik. Kami beri sokongan dan kata semangat kepadanya supaya terus kuat. Tidak lama selepas itu, arwah beritahu semuanya sudah okey dan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Nor Azlina berkata, Allahyarham juga pernah bergurau mahu berkahwin awal tetapi sebenarnya tiada perancangan lagi.
“Arwah angah pernah berseloroh mahu berkahwin awal kerana mahu keluar cepat dari bilik bujang. Apabila saya tanya dia cakap tiada apa-apa berlaku dan hanya bergurau saja,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Nor Azlina berkata, sebelum kejadian, anaknya sempat pulang bercuti selama 10 hari dan menghabiskan masa bersama keluarga.
“Angah baru sahaja pulang bercuti dan kami menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu untuk pulang ke Sarawak. Tak sangka, dua hari selepas itu kami dapat berita menyedihkan bahawa dia sudah meninggal dunia.
“Sepanjang 10 hari itu, kami mencipta banyak memori bersama. Arwah suka pergi ke bazar Ramadan dan beli macam-macam makanan yang diinginkan. Dia juga sempat meminta adiknya masakkan ikan keli berlado dan kek cheesekut serta berbuka puasa dengan opahnya. Kami juga sempat mengambil gambar raya bersama kerana dia tidak dapat pulang beraya tahun ini,” katanya.
Menurutnya, anaknya itu seorang yang baik, mendengar kata, disenangi ramai dan tidak mahu membimbangkan hati keluarga.
“Biarpun sedih kehilangan anak terutama ketika menjelang Aidilfitri, tetapi saya reda dengan takdir ini. Cuma sebagai ibu, saya terkilan dengan cara pemergiannya. Saya hantar anak saya dalam keadaan sihat, tetapi begini jadinya,” katanya.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Aseri Ismail, 49, berkata, dia dan isteri menyerahkan sepenuhnya kepada polis serta ATM untuk menjalankan siasatan terperinci selain berharap kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya.
“Angah menyertai ATM atas kemahuan sendiri dan saya tidak pernah menyesal memberi keizinan kepadanya, malah berbangga anak saya berkhidmat untuk negara. Tetapi saya terkilan dengan cara pemergiannya,” katanya.
Jenazah Muhammad Muqriz diterbangkan ke Kuala Lumpur kelmarin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, pada pukul 11.55 malam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi Isnin lalu, mangsa yang sedang tidur di berek bujang dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Namun sebelum bersahur, mangsa diarahkan melakukan commando rest (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali. – UTUSAN