PETALING JAYA: Music Rights Sabah Berhad (MRS) dan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) menyambut baik Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) 2025 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 17 Januari lalu.
Menurut kenyataan bersama MRS dan MRSB, garis panduan itu mampu memperbaiki sistem pengurusan CMO agar lebih cekap, terbuka dan bertanggungjawab.
“Kami menyokong garis panduan ini kerana ia selaras dengan matlamat Kerajaan Madani yang menekankan pengurusan yang baik dan telus,” katanya.
Menurutnya, kewujudan mereka perlu dilihat secara positif kerana pengkarya berhak mendaftarkan karya mereka tanpa terikat kepada satu CMO tertentu.
Kedua-dua organisasi itu turut bercadang agar keahlian CMO tidak terhad kepada satu badan sahaja, sebaliknya berdasarkan karya.
Langkah itu bertujuan memastikan industri hak cipta tidak dimonopoli oleh satu pihak sahaja.
“Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) sudah mengeluarkan garis panduan antarabangsa dan
beberapa negara lain seperti Myanmar serta Kesatuan Eropah turut menetapkan garis panduan serupa bagi meningkatkan ketulusan pengurusan hak cipta,” katanya.
Januari lalu, MyIPO mengeluarkan Garis Panduan Hak Cipta (CMO) 2025 sebagai usaha memperkukuh ekosistem hak cipta di Malaysia.
Namun, pelaksanaan panduan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa CMO seperti Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM). – UTUSAN