KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) tidak sesuai dijadikan sebagai rujukan kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) itu masih lagi jauh ketinggalan.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Mohd. Zulhazmin Hassan berkata, kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berhasrat menjadikan MPKB-BRI sebagai contoh jika Perikatan Nasional (PN) mentadbir Putrajaya disifatkan sebagai ‘bermimpi di siang hari’.
Menurutnya, hal ini kerana tiada sesiapa pun yang tampil memuji kecekapan MPKB-BRI sebagai contoh dalam soal pengurusan sisa pepejal.
“Malah, keadaan semakin merosot dengan longgokan sampah yang tidak terurus, bau busuk, dan sistem kutipan yang tidak konsisten.
“Jika PN tetap mahu menjadikan MPKB-BRI sebagai model pentadbiran nasional, ia bukan sahaja cadangan yang tidak masuk akal, malah menunjukkan kegagalan memahami realiti sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini selepas mengulas kenyataan Takiyuddin yang berhasrat untuk menjadikan MPKB-BRI sebagai contoh kepada PBT negeri-negeri lain.
Mohd. Zulhazmin memberitahu, beberapa aspek asas wajar diberi perhatian oleh PN sekiranya mereka benar-benar mahu mengangkat MPKB-BRI sebagai PBT contoh.
Katanya, perlu ada penambahbaikan dari segi hala tuju perancangan dan pembangunan bandar, penyelenggaraan jalan raya dan kemudahan asas, ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang kecil, pengurusan kutipan cukai, serta pelantikan ahli majlis yang berintegriti.
“Jangan hanya bermimpi, sedangkan rakyat Kelantan masih bergelut dengan realiti perkhidmatan PBT yang jauh dari memuaskan.
“Jika mahu menjadikan sesuatu sebagai contoh, biarlah sesuatu yang benar-benar berkualiti, bukan sekadar syok sendiri,” ujarnya.-UTUSAN