CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya hadir dan duduk di meja rundingan berhubung syarat memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk pembangkang.
Perdana Menteri berkata, tidak ada gunanya mengkritik bahawa syarat MoU terlalu ketat dan tidak adil jika tidak mahu duduk berunding.
Perdana Menteri berkata, ruang perbincangan antara pembangkang dan kerajaan sentiasa terbuka.
“Saya dahulu lima mesyuarat semasa jadi pembangkang. Mesyuarat lah dahulu, draf itu boleh dipinda.
“Ini hendak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin menjelaskan PN menolak MoU tersebut sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.
Ia seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.
Tambah Anwar, pembangkang sengaja mempermainkan isu berkenaan untuk menarik perhatian sehingga mengatakan mereka terpaksa berhutang, sedangkan pendapatan dan elaun setiap ahli Parlimen menjangkau sehingga RM40,000 sebulan.
“Tahu berapa gaji Ahli Parlimen, elaun mesyuarat apa semua? RM30,000 hingga 40,000. Siapa dapat RM30,000 di sini? Tiada. Jadi bukanlah tiada wang sama sekali,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan setiap kawasan Parlimen termasuk yang dikuasai pembangkang tetap disalurkan kerajaan kepada rakyat.
Katanya, ahli Parlimen bertindak dan memainkan peranannya dengan memberi usul serta cadangan bagi setiap projek yang akan dijalankan.
“Katalah Tambun itu pembangkang, projek jalan. Cuma, projek itu berjalan terus kepada rakyat atau tanpa melalui cadangan ahli Parlimen, itu beza dia.
“Jadi untuk menyatakan rakyat terbeban itu tidak benar. Kedua, menyatakan ahli Parlimen jadi miskin papa kedana itu, saya tak tahu kalau RM40,000 miskin lagi.
“Jadi kita dengar syarahan mereka di Parlimen seolah-seolah kami ini sampai berhutang, hutang kalau beli kereta banyak, isteri banyak, mungkin kena hutang. Kalau tidak, saya fikir tidak perlu hutang,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan, isu peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata, perkara itu telah dimaklumkan secara bersemuka kepada Syed Saddiq selepas bekas Menteri Belia dan Sukan itu secara prinsip telah menyatakan persetujuan bagi syarat-syarat ditetapkan kerajaan. – UTUSAN