KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan konsep deklarasi kendiri bagi beberapa item pemeriksaan kenderaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan dalam usaha mengurangkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan dan mengelakkan kegagalan pemeriksaan atas sebab yang tidak kritikal kepada keselamatan jalan raya.
Katanya, lima item telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemeriksaan mandatori iaitu tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.
“Sebagai contoh, sebelum ini kenderaan boleh gagal pemeriksaan hanya kerana teks alamat pada badan kenderaan tidak teratur walaupun ia tidak menjejaskan keselamatan jalan raya.
“Dengan pelaksanaan deklarasi kendiri, pemilik kenderaan hanya perlu memastikan pematuhan terhadap keperluan ini tanpa perlu melalui pemeriksaan mandatori di Puspakom.
“Ini bukan sahaja mengurangkan masa pemeriksaan tetapi juga membantu mengatasi isu kesesakan akibat kekurangan tenaga kerja di pusat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Puspakom Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, meskipun lima item tersebut dikeluarkan daripada pemeriksaan mandatori, pemilik kenderaan masih bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap keperluan berkenaan.
Katanya, pihak penguat kuasa akan tetap menjalankan pemeriksaan ke atas item-item tersebut di jalan raya bagi memastikan peraturan dipatuhi.
“Ketidakpatuhan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan ini merupakan langkah kawalan bagi memastikan pemilik kenderaan tidak mengabaikan aspek pematuhan walaupun tidak lagi diperiksa di Puspakom,” katanya.
Tambah beliau, langkah deklarasi kendiri itu akan berkuat kuasa mulai 17 Mac hadapan selaras dengan usaha kerajaan dalam memperbaiki sistem pemeriksaan kenderaan di negara ini. – UTUSAN