GEORGE TOWN : Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Tasek Gelugor pada pemilihan parti itu Mei depan.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, keputusan itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha awal Kerajaan Perpaduan khususnya di Pulau Pinang untuk merampas semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang ketika ini dimiliki Perikatan Nasional (PN).
Pengumuman untuk bertanding jawatan tersebut dibuat ketika beliau hadir menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Tasek Gelugor di Merbau Kudung, Sungai Dua, Butterworth petang semalam.
Menurut Mohamad, penyempurnaan perasmian MATC itu dibuat atas kapasitinya selaku Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Pulau Pinang dan Penasihat Keadilan Cabang Tasek Gelugor.
“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memutuskan bahawa Timbalan Pengerusi MPN Negeri perlu memegang amanah selaku Penasihat Cabang Keadilan ini setelah perletakan jawatan oleh Ketua Cabang Keadilan Tasek Gelugor penggal lalu.
“Setelah diberi amanah ini (Penasihat Cabang Keadilan Tasek Gelugor) tahun lalu, kita dicadangkan oleh MPP untuk memberi fokus kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang kita tewas pada pilihan raya lalu iaitu DUN Telok Ayer Tawar dengan kita turun ke beberapa kawasan ‘hotspot’,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga ADUN Batu Maung ketika ini berkata, Tasek Gelugor sebenarnya tidak asing bagi dirinya kerana arwah bapanya merupakan anak jati Pekan Darat, yang berkahwin dengan ibu beliau yang berasal dari Permatang Bertam di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama katanya, isteri beliau pula merupakan anak Permatang Sungai Dua selain mempunyai ramai saudara-mara yang tinggal di kawasan Lahar Yooi, Tasek Gelugor.
“Maka, setelah berbincang dengan rakan-rakan, saya menawarkan diri untuk bertanding bagi Pemilihan PKR 2025 selaku Ketua Cabang Tasek Gelugor,” katanya.
Tambah beliau, dengan pengumuman itu juga, beliau berharap rakan-rakan dalam komponen Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang akan dapat bekerjasama bagi memulakan gerak kerja untuk menawan Parlimen Tasek Gelugor menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) selepas ini. – UTUSAN