PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan terdapat satu insiden kematian di Kompleks Kementerian berkenaan hari ini.
Menurut kenyataan awal MOF, keluarga waris telah pun dimaklumkan berkenaan perkara tersebut oleh pihak berkuasa.
“MOF turut berdukacita dengan kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga waris.
“MOF memberikan kerjasama penuh dan telah menyerahkan hal ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan,” katanya hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan, pihak polis menerima laporan berkaitan seorang lelaki kakitangan awam dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dalam Pejabat Perbendaharaan, MOF melalui panggilan MERS 999 daripada orang awam pada 10.56 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ke tempat kejadian dan ditemukan maut dalam keadaan leher dan kaki terjerut dengan pengikat kabel di lantai pejabat itu.
“Hasil pemeriksaan awal, mendapati si mati dalam keadaan terbaring di atas lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’ (pengikat kabel).
“Mangsa berusia 45 tahun dan adalah kakitangan jabatan berkenaan. Tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di tempat kejadian,” katanya.
Polid mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. – UTUSAN