MMA tuntut caj konsultasi minimum RM60

MMA tuntut caj konsultasi minimum RM60

Dr. Kalwinder Singh Khaira
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut agar kadar caj konsultasi perubatan am (GP) swasta dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM60.

Presiden MMA, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, langkah itu bersesuaian dengan mengambil kira kadar yuran sebanyak RM10 hingga RM35 yang tidak berubah lebih 33 tahun, peningkatan kos sepanjang tempoh itu dan kadar inflasi.

Jelasnya, kadar minimum itu juga adalah wajar dan adil, manakala had maksimum perlu berdasarkan kajian dilakukan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Malah, sejak sekian lama ramai GP bergelut dengan kos operasi termasuk sewa, gaji kakitangan, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan kos untuk mematuhi peraturan, yang meningkat dengan ketara dalam tempoh ini.

“Selain itu, banyak klinik ditutup kerana cabaran ini dalam usaha mengekalkan klinik mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, dalam peringkat akhir perbincangan bersama Jabatan Perangkaan (DOSM) bagi penentuan bayaran perundingan GP swasta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia adalah semakan bayaran perundingan di bawah Jadual 7 Akta 586 yang seharusnya dikemas kini bersama Jadual 13 yang dilaksanakan pada penggal pertama 2019.

Justeru, Dr. Kalwinder berharap, yuran perundingan itu yang akan diputus dan diumumkan tidak lama lagi oleh kerajaan, mengambil kira faktor kos sara hidup dan pendapat umum.

Beliau juga mencadangkan supaya pelarasan berkala bagi yuran perundingan sebanyak 10 peratus dilakukan setiap tiga tahun selari dengan kadar inflasi.

Mengenai paparan harga ubat yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mei, MMA menekankan bahawa peraturan amalan perubatan tidak sepatutnya berada di bawah dua akta berasingan selain menggesa agar kesahihan menggunakan Akta 723 untuk GP dikaji dengan lebih lanjut.

“Ini adalah pandangan MMA dan GP bahawa penguatkuasaan dalam apa juga bentuk seharusnya hanya di bawah bidang kuasa KKM dan bukan di bawah mana-mana agensi atau kementerian lain.

“Klinik menyediakan perkhidmatan profesional dan sudah pun berada di bawah bidang kuasa PHFSA (Akta 586) dan ia tidak sepatutnya dilihat dengan cara yang sama seperti kedai runcit untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya