Mestilah saya mahu berkahwin – Nadia Brian - Utusan Malaysia

Mestilah saya mahu berkahwin – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah mendirikan rumah tangga, pelakon jelita, Nadia Brian masih terbuka hati untuk kembali bergelar isteri. Namun, status ‘janda’ itu sukar untuk diakhirinya kerana belum bertemu dengan jodoh yang pasti.

Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi berkata, dia sering berdoa agar ditemukan dengan jodoh yang baik namun, enggan terburu-buru memikir soal itu kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Mestilah saya mahu berkahwin, saya pun pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini.

“Tetapi, saya juga tidak mahu berkahwin atas sebab sering menerima desakan masyarakat atau tangkap muat saja. Saya juga dalam fasa belajar dari kesilapan dan perbaiki diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain berharap orang ramai mendoakan yang terbaik untuknya, pelakon drama Sekam Di Dada tersebut turut memohon agar masyarakat lebih sensitif dalam menyentuh topik itu.

“Saya tidak pernah bercakap pun soal perkahwinan di media sosial sebelum ini. Bila soalan itu timbul, mungkin boleh buat seseorang itu terasa.

“Mungkin perlu lebih sensitif bila mahu menyentuh soal ini. Tapi saya faham ada juga orang yang bertanya kerana mahu mengambil berat. Dia ada baik buruknya.

“Saya tidak rimas. Niat saya menulis seperti itu untuk berikan penjelasan. Saya juga tidak terasa hati jika kerap diajukan soalan begitu. Selagi cara bertanya itu tidak menimbulkan fitnah atau membuatkan saya kurang selesa, saya okay saja,” ujarnya.

Nadia mengulas perkara tersebut susulan luahannya di aplikasi Threads ketika berkongsi keinginannya untuk kembali berumah tangga, baru-baru ini.

“Siapa saja yang tidak mahu kahwin? Doakan okey,” kongsinya.

Bercinta Dengan VIP? Itu Tidak Benar

Seronok menjalani kehidupan solo, Nadia bagaimanapun mengakui dirinya kini sedang fokus pada kerjaya seninya.

Namun, pelakon yang berusia 34 tahun itu terkejut apabila dirinya didakwa sedang menjalin cinta dengan golongan ternama.

“Saya sendiri terkejut dan tidak tahu daripada mana dakwaan itu timbul.

“Memang betul saya ada berkawan tetapi tidaklah serius dan memang sekadar berkawan sahaja. Tiada yang istimewa,” katanya.

Tambah Nadia, dia tidak menilai seseorang itu daripada harta sebaliknya mahu mencari lelaki yang mempunyai perwatakan yang baik dan memahami.

“Saya juga mahukan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Bukan hanya wang ringgit, pada saya perangai itu lebih penting.

“Saya seorang yang kuat bekerja. Tidaklah sampai mahu mendekati golongan VIP. Pada saya, jodoh saya itu nantilah VIP di hati saya,” ujarnya.

Sebelum ini, Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun bercerai pada April 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya