Mercun: Raja Muda Kedah titah ibu bapa pantau anak-anak

Mercun: Raja Muda Kedah titah ibu bapa pantau anak-anak

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mengurniakan sumbangan kepada seorang kanak-kanak pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri MAIK di Guar Chempedak, Yan, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menitahkan para ibu bapa untuk sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak terutamanya melibatkan aktiviti bermain mercun.

Titah baginda, langkah itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama kecederaan yang serius menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Tengku Sarafudin Badlishah turut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang berlaku terhadap dua beradik di Kuala Nerang semalam dan berharap ianya tidak berulang pada masa akan datang.

“Saya harap kejadian ini tidak berlaku lagi di negeri Kedah atau negeri-negeri lain di Malaysia sebab tiap-tiap tahun bila kita dengar dekat hendak raya, ada kejadian macam ini.

“Memang saya harap ibu bapa kena pantau anak-anak mereka semua, semua gembira hendak raya tetapi kita tidak mahu berada dalam kesedihan,” titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di sini, hari ini.

Baginda turut menyeru agar pemantauan ketat dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan larangan terhadap penjualan mercun yang berbahaya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun cedera dipercayai akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Kampung Baru, Kuala Nerang.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam kelmarin, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, putus pergelangan tangan kiri dan bawah pipi sebelah kanan terkoyak akibat letupan itu sementara adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, cedera ringan.

Sementara itu, Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Yang Dipertua MAIK memaklumkan bahawa agensi itu telah memperuntukkan sebanyak RM626,400 tahun ini untuk diagihkan kepada 2,950 penerima di negeri ini.

Baginda berharap agar sumbangan itu dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan dan memberikan kegembiraan kepada golongan terlibat menjelang sambutan Aidilfitri.

“Majlis sumbangan pada hari ini merupakan satu acara simbolik kepada golongan yang memerlukan dan layak melalui perantaraan antara pihak masjid untuk memastikan agihan ini dapat dinikmati oleh semua golongan memerlukan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya