Mengamuk bunuh ibu selepas televisyen ditutup - Utusan Malaysia

Mengamuk bunuh ibu selepas televisyen ditutup

SUSPEK berpakaian lokap warna ungu (tengah) dikawal anggota polis ketika dibawa untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suspek yang mengalami masalah mental dan mengamuk sehingga membunuh serta membakar ibunya dipercayai berbuat demikian selepas wanita itu menutup suis televisyen yang ditontonnya di Kampung Tok Keling, di sini.

Lelaki berusia 43 tahun itu juga dikatakan tiba-tiba berang selepas diminta ibunya untuk memakan ubat penenang sebelum dia bertindak di luar jangkaan dengan membunuh wanita itu.

Jiran kepada keluarga itu, Mohd. Khalil Ismail, 48, mendakwa kejadian terbabit berlaku ketika waktu sahur selepas suspek didapati masih menonton televisyen sejak malam.

“Mungkin sebab suis televisyen ditutup suspek mengamuk lalu memukul ibunya. Selepas kejadian itu, anak perempuan suspek berlari keluar untuk meminta tolong, dipercayai ke rumah bapa saudaranya sebelum polis tiba.

“Anak suspek juga ada datang ke kawasan berhampiran rumah kami dan memaklumkan kepada ibu saya tentang kejadian. Ibu saya biasa jumpa dan berbual dengan mangsa yang dipanggil Tok Chah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd. Khalil berkata, suspek pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan selama ini dia tidak pernah mengamuk sehingga mencederakan orang lain.

“Ada masa-masa tertentu sahaja yang dia jadi kurang waras, dia pernah lari keliling kampung tidak berpakaian, tapi tidak kacau orang.

“Kali ini tindakannya sangat kejam, tekanan apa saya tidak pasti. Saya rasa kalau dia sedar, dia tidak akan buat macam itu,” katanya.

Tambahnya, sehari sebelum kejadian, suspek dikatakan berkelakuan normal dan sempat membawa ibunya keluar membeli makanan dan pergi ke bank dengan menaiki motosikal.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga emas maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.48 pagi sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

Polis membuat tangkapan ke atas suspek di hadapan rumah itu dan pemeriksaan lanjut menemukan mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai telah dibunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya