BUKIT MERTAJAM : Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki pelbagai senjata termasuk bom tangan tiruan, bulan lepas.
Tertuduh, Goh Wei Choon, 30, dan Cheng Meng Hong, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan terhadap Wei Choon, dia didakwa memiliki 76 pistol serta senapang tiruan pelbagai jenis di sebuah premis di Jalan Perai Jaya 3 di sini, kira-kira pukul 3.40 petang pada 24 Februari lalu.
Sementara itu, Meng Hong pula didakwa memiliki 25 laras senjata tiruan serta tiga bom tangan tiruan dan kesalahan itu dilakukan di parkir sebuah pusat beli belah di Jalan Baru Perai di sini, kira-kira pukul 3 petang pada hari yang sama.
Atas kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda maksimum sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Roslina Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, ketika rayuan dibuat, peguam YBGK memohon agar kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan hukuman denda yang minimum sahaja.
Menurutnya, hal ini demikian kerana, Wei Choon hanya bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 manakala Meng Hong pula bekerja sebagai juruwang dan senjata tiruan yang dirampas daripada kedua-dua mereka adalah bagi tujuan perniagaan.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 terhadap setiap tertuduh serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Difahamkan, kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.-UTUSAN