Lafaz talak dan jabat tangan terakhir di hadapan pintu Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Isnin lalu adalah titik noktah kepada perjalanan perkahwinan pelakon, Farid Kamil dengan wanita bernama Diana Danielle.
Saya berkesempatan melakukan temu ramah eksklusif dengan bapa kepada dua anak ini, Farid terbatabata ketika berkata tiada apa lagi yang boleh diharapkan. Tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan antara mereka berdua.
Perpisahan kali kedua seperti menampar Farid, menyedarkannya bahawa mungkin jodohnya dengan pelakon Imaginur itu sudah tamat, kerana putus benang boleh dihubung, putus arang bercerai lalu.
Bagaimanapun, calon Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 enggan melihat perjalanan yang dilalui sebagai karma atau hukuman, sebaliknya ujian dan suratan yang ditetapkan Tuhan.
“Apa yang saya lalui ini bukanlah ada rujukan yang boleh saya ambil melainkan hanya diri sendiri dan Allah. Untuk perceraian kali kedua ini, saya enggan lagi libatkan ibu dan bapa.
Saya tidak bercerita, mereka tidak tahu apa yang jadi kerana urusan akad dahulu juga adalah pilihan saya sendiri.
“Benda sudah tertulis. Jadi, saya perlu hadapi sama ada tenang, atau tidak, sakit bagaimanapun tetap kena tempuh. Semua sudah tertulis, sudah dilalui, cuma apa yang kita perlu buat adalah berlapang dada sahaja.
“Saya cuba mengharapkan doa. Kerana tiada apa lagi boleh diharap, diminta dan diusahakan menurut akal saya.
“Semuanya terjadi dengan tiba-tiba. Perkara yang sebelum ini tidak menjadi sebab, tiba-tiba juga boleh menjadi sebab (perpisahan). Saya tidak mahu lagi berfikir dan tanya. Nombor telefon saya sudah disekat, sekarang apa-apa memang saya berhubung melalui anak-anak sahaja,” katanya kepada Pancaindera.
Jika gelaran seorang suami sudah terlucut daripada bahunya, Farid bagaimanapun enggan menjadi bapa yang gagal buat anaknya Muhammad,12 dan Nur Aurora, 10.
Pelakon Lagenda Budak Setan itu sebenarnya sudah boleh menghidu perpisahan ini. Oleh itu sejak Ramadan lalu, dia akan bertemu anak-anak dan menerangkan bahawa selepas ini mungkin mereka sudah tidak lagi kerap berjumpa.
“Tiada halangan untuk berbuka puasa dengan anak-anak Ramadan lalu. Saya juga dapat bawa Muhammad ke masjid. Tahun ini juga buat saya sedar, anak-anak saya juga sudah semakin mengerti tentang hidup.
“Kami tidak hanya bercerita tentang raya, tetapi banyak perkara. Termasuklah apa yang perlu dilakukan sebagai persediaan jika saya meninggal lebih awal.
“Ramadan lalu memang saya gunakan sebaiknya untuk terangkan kepada anak-anak mungkin selepas ini kita akan jarang berjumpa,” tambahnya yang sah bercerai kali kedua dengan Diana Danielle atau Dee pada 24 Mac lalu.
ADA HATI, SAKIT YANG PERLU SEMBUH
KEMBALI beraya sebagai duda, Farid bagaimanapun bersyukur kerana Diana bersetuju untuk membenarkan kedua-dua anaknya beraya di kampung bapa yang terletak di Kedah.
Menurut Farid, dia akan pulang ke kampung halaman bersama anak-anak empat hari sebelum lebaran. Raya ini bukan hanya berbeza untuk Farid, tetapi juga paling bermakna kerana telah melalui episod pengorbanan Ramadan lalu.
“Syawal bagi saya tidak akan bermakna apa-apa selagi Ramadan saya tidak betul-betul berkorban. Dulu selalu kir hari raya, sekarang dengan situasi hari ini, saya lebih hargai Ramadan kerana di sana ada keberkatan dan bulan menyucikan hati nurani.
“Tahun lalu selepas rujuk, kami beraya di rumah keluarga Dee tapi anak-anak tidak suka. Jadi kali ini selepas empat tahun, anak-anak sendiri yang buat permintaan untuk pulang ke Kedah. Cuma saya beraya dengan kembali ke square one,” jelasnya.
Saya kemudian bersandar, melontarkan soalan, apa agaknya yang paling dirindukan daripada sosok seorang Diana menjelang pagi hari raya ini. Farid tenang menerima soalan itu, cuma mengambil masa untuk menjawab. Mungkin mengumpul kekuatan.
“Entah,” jawabnya ringkas.
“Mungkin masakan?” Tanya saya sekali lagi cuba memancing.
“Tidak, bukan masakan.
Tiada apa apa selain dapat beraya bersama. Sembahyang raya bersama, itu sahaja. Yang lain hanya Allah yang tahu,” tambahnya disusuli diam yang sedikit panjang.
Saya pula enggan memaksanya meleret perbualan. Walau air dalam bertambah dalam, hujan dahulu belumlah teduh.
Farid tahu dia dan Diana tidak mungkin boleh bersahabat seperti pasangan bercerai yang lain. Setidaknya bukan sekarang. Antara mereka berdua, ada hati dendam dan luka yang belum sembuh.
Dia bagaimanapun enggan bersengketa dan mahu sedaya upaya mengelak daripada bertelagah termasuklah urusan melibatkan anak-anak.
“Dengan situasi hari ini saya tidak rasa kami boleh bersahabat. Saya tidak kir pun mengenai perkara itu, jadi saya tidak nampak pun perkara itu di masa hadapan. Cuma apa yang kir, adalah nasib anak-anak sahaja.
“Cuma saya faham, anak-anak kadang-kadang boleh menjadi punca bertelagah. Andai saya minta bertemu anak, tapi mereka sudah ada perancangan. Saya akan biasakan untuk tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Saya tidak mahu anak-anak berasa ditinggalkan atau tiada ‘father gure’. Seperti Dee yang tiada bapa semasa umurnya tujuh tahun. Jika tidak, mereka akan hidup dalam keadaan itu untuk masa yang lama,” tambahnya.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Farid bakal memberi fokus menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM).
“Sekarang saya dalam proses daftar masuk sebagai pelajar jadi banyak perkara yang perlu diuruskan. Kelas bakal bermula. Seminggu tiga kali saya akan menghadiri kelas di Universiti Malaya,” jelasnya.