TUMPAT: Seorang mekanik hanya mampu melihat 22 buah motosikal pelanggannya yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 terbakar selepas kawasan rumah yang dijadikan bengkel musnah dalam kebakaran di Taman Sri Tanjung, Pasir Pekan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, Mohd. Firdaus Zamri, 21, berada di rumah rakannya di kampung sama sebelum dihubungi abangnya berhubung kejadian tersebut.
Katanya, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah kereta termasuk sebuah miliknya jenis Proton Perdana yang baru dibeli daripada abangnya di Kuala Lumpur.
“Saya bergegas pulang ke rumah sebaik sahaja menerima panggilan daripada abang. Apabila sampai di rumah, saya tergamam melihat api sedang menjilat kawasan rumah yang turut dijadikan bengkel membaiki motosikal.
“Saya tidak sempat menyelamatkan semua motosikal pelanggan termasuk yang sudah siap dibaiki kerana api marak ketika itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd. Firdaus bagaimanapun bersyukur kerana ibunya, Anisah Ariffin, 61, bersama adik-beradik yang lain sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu.
Katanya, dia sudah menghubungi semua pelanggannya untuk memaklumkan kejadian itu dan motosikal paling mahal yang musnah antaranya Yamaha RXZ, Yamaha Y15 serta Yamaha 125Z. – UTUSAN