PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan untuk menyemak semula kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutamanya selepas kadar tersebut diturunkan semasa pandemik Covid-19.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, peningkatan caruman KWSP oleh majikan akan meningkatkan kos operasi perniagaan dan berpotensi menjejaskan kelangsungan syarikat, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut beliau, peningkatan kos operasi boleh menyebabkan majikan terpaksa mengurangkan bilangan pekerja sedia ada serta mengehadkan pengambilan pekerja baharu bagi mengimbangi beban kewangan.
“Dalam keadaan ini, syarikat juga mungkin terdorong untuk menggantikan pekerja tetap dengan kontrak jangka pendek atau pekerja sambilan bagi mengurangkan komitmen jangka panjang terhadap caruman KWSP.
“Selain itu, syarikat multinasional dan tempatan mungkin memilih untuk melabur di negara lain yang menawarkan struktur kos buruh lebih kompetitif.
“Keadaan ini akan mengurangkan peluang pekerjaan serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kadar caruman KWSP bagi pekerja dan majikan perlu dinaikkan bagi meningkatkan jumlah simpanan pencarum.
Pengarah Bersekutu Akademi Nourven, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sudah tiba masanya kadar caruman KWSP dikaji semula selepas ia diturunkan semasa pandemik.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, kerajaan, KWSP dan semua pihak berkepentingan perlu mencari penyelesaian yang lebih seimbang bagi memastikan simpanan hari tua pekerja mencukupi tanpa membebankan majikan dengan kenaikan kos operasi.
Sebagai alternatif, beliau berkata, kerajaan perlu memperkenalkan program pendidikan dan literasi kewangan kepada pencarum KWSP.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pekerja tentang kepentingan simpanan jangka panjang, pelaburan serta pengurusan kewangan secara berhemah.
“Majikan juga digalakkan untuk menyediakan bengkel dan kursus berkaitan perancangan kewangan bagi membantu pekerja membuat keputusan kewangan yang lebih bijak,” katanya.
Syed Hussain berkata, insentif majikan untuk simpanan tambahan sukarela perlu disemak semula dan tidak dihadkan kepada 10.6 peratus seperti yang ditetapkan sekarang.
“Secara tidak langsung, langkah ini dapat menggalakkan majikan yang berkemampuan untuk mencarum lebih kepada KWSP.
“Kerajaan juga boleh menawarkan insentif cukai kepada majikan yang memberi sumbangan padanan kepada pekerja yang menyimpan lebih dalam skim mandatori KWSP,” katanya. – UTUSAN