PETALING JAYA: Kerajaan akan menyediakan platform baharu untuk pengguna media sosial membuat rayuan sekiranya kiriman media sosial mereka diturunkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, platform itu juga sekali gus dapat memberi ruang kepada pemilik media sosial mempertahankan kandungan yang dimuat naik mereka.
“Aduan boleh dibuat ke tribunal ini di mana mereka boleh mempertahankan kiriman mereka yang telah diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat hari ini
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, setakat 25 Februari lalu, pengendali WeChat, TikTok dan Telegram telah memperoleh lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi.
Menurut beliau, Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp, sedang dalam proses memohon dan kementeriannya telah mengeluarkan notis untuk membenarkan perkhidmatan tersebut beroperasi sementara waktu.
“Mereka sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk permohonan,” katanya.
Bagaimanapun katanya pemilik X (dahulunya Twitter) dan YouTube belum lagi mengemukakan permohonan
“Platform X berhujah bahawa ia tidak mempunyai (bilangan pengguna berdaftar) lapan juta rakyat Malaysia di platformnya dan oleh itu tidak memerlukan lesen tersebut.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan tinjauan untuk menilai bilangan pengguna (di X) supaya kita dapat menangani hujah tersebut,” katanya.
Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM sebelum ini mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia mesti memohon lesen ASP (C) berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.
Menurut SKMM, kegagalan mematuhi tarikh kuat kuasa tersebut merupakan kesalahan di bawah Akta ini dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. – UTUSAN