PETALING JAYA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh terhadap seorang pengamal media yang didakwa menerima rasuah.
MCW dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius penahanan individu berkenaan bagi memastikan semua bukti dikumpulkan dengan tepat dan tanpa prejudis.
Katanya, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan integriti kewartawanan perlu ditangani dengan penuh ketelitian bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan media.
“Integriti dan etika kewartawanan adalah asas kepada kebebasan media.
“Sekiranya dakwaan terhadap wartawan itu adalah benar, maka tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik profesion kewartawanan tetapi juga mengkhianati kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai pemantau kepada ketelusan dan keadilan.
“Proses undang-undang yang adil mesti dijalankan. Setiap individu berhak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” kata kenyataan itu.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengamal media di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira pukul 11 malam bagi membantu siasatan kes melibatkan rasuah.
Dilaporkan, SPRM juga menemukan sejumlah wang kira-kira RM20,000 pada pengamal media tersebut.
Sementara itu, MCW turut menyeru semua pengamal media untuk sentiasa mematuhi kod etika kewartawanan dan menghindari sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“Kebebasan media datang dengan tanggungjawab besar dan adalah penting bagi wartawan untuk menjaga integriti mereka dalam menjalankan tugas.
“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap agar kebenaran dapat ditegakkan demi kepentingan awam dan integriti profesion kewartawanan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN