JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah meluluskan permohonan penganjuran sebanyak 48 bazar Ramadan melibatkan 2,688 petak di sekitar bandar raya ini, tahun ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, pihaknya turut mengeluarkan lesen bagi sembilan bazar Aidilfitri melibatkan 384 tapak di lokasi tumpuan.
Katanya, para peniaga dinasihatkan untuk mematuhi syarat-syarat kesihatan seperti memakai apron dan sarung tangan, tidak membungkus menggunakan bekas polisterine atau surat khabar.
“Para peniaga bazar juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bazar, mengambil suntikan anti-typhoid serta mematuhi arahan pelesenan yang berkuatkuasa.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak penganjur agar dapat memastikan dan dapat mengambil tindakan ke atas semua peniaga-peniaga yang di bawah kelolaan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini.
Mohd. Haffiz berkata, peniaga-peniaga juga perlu dipastikan untuk mematuhi setiap syarat-syarat pelesenan yang telah ditetapkan dan sentiasa memaparkan lesen ketika di tapak perniagaan masing-masing.
“Sekiranya terdapat perniagaan warga asing yang memasuki tapak perniagaan tanpa kebenaran, penganjur diminta untuk memaklumkan Jabatan Penguatkuasaan dengan kadar segera.
“Peniaga juga dinasihatkan untuk menjual makanan yang berkualiti, berkhasiat, bersih serta dengan harga yang berpatutan, agar bazar di Johor Bahru ini menjadi bazar contoh dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara setiap kali menjelang bulan puasa dan Aidilfitri,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut ingin menggalakkan agar para peniaga dapat menawarkan Menu Rahmah supaya lebih ramai yang kurang berkemampuan dapat sama-sama menikmati juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadan kawasan MBJB.-UTUSAN