BESUT: Mayat dipercayai seorang lelaki yang hampir reput dan tanpa identiti ditemukan di dalam sebuah tandas terbengkalai di Bukit Keluang, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.20 petang berhubung penemuan itu.
“Hasil siasatan awal polis mendapati tiada dokumen pengenalan diri dijumpai dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi penemuan mayat berkenaan.
“Lokasi penemuan mayat adalah di dalam sebuah tandas terbengkalai dan terpencil, yang mana mayat berkenaan mereput dan dipercayai sudah meninggal dunia melebihi tujuh hari,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan temubual saksi awam mengatakan mayat berkenaan dipercayai seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, yang kebiasaannya setiap hari berada di lokasi itu.
Katanya, lelaki berkenaan dikatakan lebih kurang seminggu tidak kelihatan di sekitar kawasan itu dan temubual yang dilakukan ke atas seorang lelaki dipercayai abang mangsa mengatakan adiknya tidak pulang ke rumah melebihi seminggu, namun tiada sebarang laporan polis dibuat. – UTUSAN