KUALA LUMPUR: Masjid Madani yang bakal dibina di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini bakal menjadi mercu tanda pembangunan syiar Islam di Kuala Lumpur dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bakal menyaksikan bangunan empat tingkat itu mampu menampung sehingga 2,900 jemaah pada satu-satu masa.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, dengan berkonsepkan inti pati Malaysia, ia dapat menempatkan kira-kira 592 jemaah di ruang utama solat yang terletak tingkat satu.
“Masjid Madani dijangka siap dalam masa 24 bulan dari tarikh pembinaan dan akan menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan syiar Islam di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa. – UTUSAN