PETALING JAYA: Institut Masa Depan Malaysia (MASA) membuka permohonan untuk geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 3.0 bagi tahun 2025, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa Bumiputera dalam membina masa depan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, MPDP 3.0 adalah peluang unik bagi penyelidik dan ahli akademik untuk memberikan impak ketara terhadap masa depan Malaysia.
Katanya, dengan menangani isu-isu kritikal yang dihadapi oleh Bumiputera, penyelidik berperanan penting dalam membentuk dasar yang dapat mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
“Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif transformasi dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
MPDP yang diperkenalkan pada September 2021 mendapat sambutan menggalakkan dengan penerimaan 388 kertas cadangan daripada lebih 30 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.
Hasilnya, sebanyak 57 Ringkasan Polisi telah diterbitkan dalam dua kohort terdahulu, merangkumi bidang ekonomi, sosial, pendidikan, dan pembangunan lestari.
Berdasarkan kejayaan ini, MPDP 3.0 diteruskan dengan pendekatan lebih strategik dan berimpak tinggi menerusi tema “Memperkasa Bumiputera untuk Membina Masa Depan Malaysia.” Sebagai sebuah pusat pemikir, MASA terus komited menjalin kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan dasar negara.
Kohort ketiga ini menawarkan geran sehingga RM10,000 bagi setiap cadangan penyelidikan yang terpilih, bertujuan menambah nilai kepada dasar sedia ada dan menjadi mekanisme check-and-balance bagi memastikan keberkesanannya.
Dapatan penyelidikan ini diharapkan dapat menyumbang secara signifikan kepada agenda ekonomi Bumiputera dan selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Menurut MASA, usaha ini juga merupakan kesinambungan daripada penerbitan “Ekonomi Bumiputera: Situasi Semasa,” yang bertujuan meneroka aspek kritikal berkaitan pembangunan ekonomi Bumiputera dalam kerangka pembangunan negara.
Tujuh Bidang Utama Penyelidikan
Penyelidik dan ahli akademik yang berminat dikehendaki menghasilkan Policy Brief yang memberi fokus kepada tujuh bidang utama berkaitan Bumiputera iaitu:
- Pendapatan, Taraf Hidup dan Kesejahteraan Sosial
- Pemilikan Aset, Ekuiti dan Kekayaan
- Pembangunan Modal Insan
- Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar
- Pendidikan dan Kemahiran
- Daya Saing dan Nilai Ekosistem Perniagaan
- Pemerkasaan Reformasi Institusi dan Keterangkuman
Permohonan MPDP 3.0 boleh dibuat sekarang dan tarikh akhir penghantaran borang lengkap adalah pada 31 Mac 2025. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang MASA di https://institutmasa.com/ms/program-pembangunan-dasar-masa-3-0/ atau melalui Bahagian Dasar dan Penyelidikan menerusi emel [email protected] UTUSAN