PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (Mara), MARA Corp dan MARA Inc untuk menjana keuntungan bersih dalam setiap projek dilaksanakan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, MARA dan MARA Corp serta strategi ditambah baik oleh MARA Inc terhadap projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran.
Katanya, PAC melihat MARA Inc. perlu memastikan semua hutang dibayar secara teratur selaras dengan Pelan Penyelesaian Hutang yang sudah ditetapkan.
“PAC mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, MARA dan MARA Corp serta strategi ditambahbaik oleh MARA Inc terhadap projek pembangunan, termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai syor terhadap pemilikan Premiera Hotel & Resorts Sdn Bhd (PHKL), Mas Ermieyati berkata, MARA Inc perlu memastikan pelan pemulihan dipenuhi.
“Ia merangkumi strategi pelan pemulihan di PHKL untuk menyasar mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM84.1 juta pada tahun 2023 kepada keuntungan terkumpul sebanyak RM0.8 juta dilaksanakan,” jelasnya.
Kata Mas Ermieyati, MARA Inc. perlu sentiasa melihat semula dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) supaya mengikut keperluan dan peredaran masa dalam isu membabitkan penyewaan hartanah.
“Biarpun pihak MARA Inc sudah mempunyai SOP Pajakan (Leasing) dan Pungutan (Collection) serta menguatkuasakan pematuhan terhadap SOP berkenaan,” katanya.
Katanya, PAC mengambil maklum tindakan MARA Inc untuk menggubal satu dasar lengkap berhubung penilaian hartanah dan mengingatkan supaya dasar itu sentiasa dipatuhi dan dikemaskini selepas mendapat kelulusan Lembaga Pengarah MARA Inc.
“PAC sekali lagi menegaskan keperluan penelitian, pematuhan dan penambahbaikan terhadap garis panduan dan dasar sedia ada supaya skandal hartanah MARA Inc tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, PAC berpandangan tindakan MARA Inc memohon hutang sedia ada membabitkan Hotel Premiera kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015, adalah satu langkah yang seharusnya tidak berulang.
PAC sebelum ini mendapati MARA Inc telah melakukan pembelian hartanah yang terlebih nilai di dua buah negara.
Dua hartanah itu adalah Beaumont House di London, United Kingdom pada 2014 dan Dudley International House, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street masing-masing di Melbourne, Australia pada 2013 juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
Justeru, PAC mengesyorkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Mara, MARA Corp dan MARA Inc perlu memastikan Hotel Premiera mempunyai perancangan jelas supaya penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat. – UTUSAN