PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corp dan Mara Inc untuk menjana keuntungan bersih dalam setiap projek dilaksanakan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, Mara dan Mara Corp serta strategi ditambah baik oleh Mara Inc terhadap projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran.
Katanya, PAC melihat Mara Inc. perlu memastikan semua hutang dibayar secara teratur selaras dengan Pelan Penyelesaian Hutang yang sudah ditetapkan.
“PAC mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, Mara dan Mara Corp serta strategi ditambahbaik oleh Mara Inc terhadap projek pembangunan, termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas mengenai syor terhadap pemilikan Premiera Hotel & Resorts Sdn. Bhd. (PHKL), Mas Ermieyati berkata, Mara Inc perlu memastikan pelan pemulihan dipenuhi.
“Ia merangkumi strategi pelan pemulihan di PHKL untuk menyasar mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM84.1 juta pada tahun 2023 kepada keuntungan terkumpul sebanyak RM0.8 juta dilaksanakan,” jelasnya.
Kata Mas Ermieyati, Mara Inc perlu sentiasa melihat semula dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) supaya mengikut keperluan dan peredaran masa dalam isu membabitkan penyewaan hartanah.
“Biarpun pihak Mara Inc sudah mempunyai SOP Pajakan (Leasing) dan Pungutan (Collection) serta menguatkuasakan pematuhan terhadap SOP berkenaan,” katanya. – UTUSAN