KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar dijadualkan melawat mangsa yang terjejas banjir di Sabah, hari ini.
Hajiji dan Shamsul dijadualkan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir, Beaufort dan beberapa kampung yang terjejas.
Setakat pagi ini, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 4,530 orang berbanding 4,122 yang dilaporkan semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 29 pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pemindahan kekal (PPK) dibuka di empat daerah yang dilanda banjir.
Daerah yang paling terjejas adalah Beaufort yang mencatatkan 1,719 orang daripada 556 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS yang dibuka iaitu di PPK Dewan Selagon, PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir, Dewan Bisaya dan Dewan Residensi Prima, Dewan Kukut, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beaufort dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3.
Mangsa yang terjejas di Tenom pula adalah seramai 1119 orang daripada 420 keluarga yang dipindahkan ke 14 PPS iaitu PPS Dewan Batu-Batu, SK Mandalom Lama, Dewan Sri Antanom, Dewan Jiuin Jimin, Kampung Mandalom Lama, Rumah Kebudayaan Poguokon Laut, Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Pantungon Saga, Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Dewan SMK Entabuan, Rumah Kebudayaan Labut 1, SK Saga, Dewan Melalap dan Uloi Makakagas.
Di Membakut pula, lima PPS dibuka iaitu Dewan Kesenian Islam, Dewan Bongawan, SMK Membakut, AJKC Peiyin dan SMK ST Patrick yang menempatkan 914 mangsa daripada 312 keluarga.
Daerah Kecil Sook turut mencatatkan jumlah mangsa yang ramai dengan 778 orang daripada 200 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Dewan Membulu, Dewan SK Pekan II dan Dewan Kampung Ansip Tengah.
Sementara itu, kesemua mangsa banjir di Keningau telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 3 petang semalam selepas keadaan banjir di daerah itu surut sepenuhnya. – UTUSAN