KUALA LUMPUR: Selebriti terkenal, Neelofa mendedahkan dirinya akan membaca al-Quran selama empat jam setiap hari sebagai rutin sepanjang bulan Ramadan.
Menerusi siaran langsung di TikTok, Neelofa turut memanfaatkan bulan yang mulia ini dengan beribadah seawal 4.30 pagi disusuli bersahur bersama suami, Haris Ismail.
“Saya bangun 4.30 pagi, ambil air sembahyang dan solat dahulu. Kemudian bersahur dengan kurma serta air 500ml dan madu.
“Sepuluh minit sebelum azan, saya akan kejut Haris dan sediakan dia kurma. Selepas itu saya bersiap untuk solat, dia pula akan ke masjid.
“Setelah itu saya akan membaca al-Quran selama empat jam sehari. Pada pukul 11 pagi atau 12 tengah hari pula saya tidur sekejap,” katanya.
Meskipun ligat mengejar pahala di bulan Ramadan, Neelofa tetap mengutamakan keperluan kedua-dua putera kesayangannya, Bilal dan Abbas dengan menyediakan makanan dan meluangkan masa secukupnya bersama mereka.
“Kemudian saya akan ke dapur siapkan makanan anak-anak. Selesai solat zuhur, saya baca lagi. Bilal pun akan suruh saya membaca al-Quran, jadi saya selang-selikan aktiviti dengan anak-anak,” jelasnya.