PETALING JAYA: Malaysia berjaya mendepositkan benih warisan dan varieti tradisional di Svalbard Global Seed Vault (SGSV), sebuah pusat penyimpanan benih selamat yang terletak di Pulau Longyearbyen, Norway.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memaklumkan, struktur bilik kebal itu terletak dalam permafrost semula jadi dengan suhu -18 darjah celsius.
Difahamkan, keadaan itu dapat memastikan benih yang disimpan kekal terpelihara dalam jangka masa panjang.
“Melalui Projek BOLD (Biodiversity for Opportunities, Livelihoods and Development) dengan dana daripada CropTrust, kami telah mengenal pasti sumber genetik daripada koleksi MyGeneBank dan Bank Gen Padi Kebangsaan MARDI yang dikumpulkan sejak tahun 1977.
“Sumber genetik ini termasuk varieti tradisional padi, terung dan kacang panjang dipilih sebagai simpanan pendua di SGSV,” katanya dalam kenyataan.
Tambah MARDI, sebanyak 725 aksesi tanaman telah diduplikasi di SGSV melalui dua penghantaran yang dibuat pada Mei dan Disember 2024.
“Pada 26 Februari 2025, pintu SGSV dibuka untuk kali pertama tahun ini bagi menerima deposit benih dari Malaysia serta 20 negara lain.
“Usaha ini adalah langkah penting dalam memastikan keterjaminan dan kelangsungan sumber genetik makanan sekiranya negara berhadapan dengan bencana yang boleh menjejaskan kemudahan penyimpanan benih tempatan,” katanya. – UTUSAN