PUTRAJAYA: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menyertai Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), esok di Jeddah, Arab Saudi.
Menurut Kementerian Luar, sesi Tergempar ini bakal membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kegusaran berhubung cadangan pengilhakan Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka.
Pada sesi tergempar berkenaan, katanya, Malaysia akan menegaskan tentangannya terhadap sebarang cadangan pengilhakan Gaza atau usaha untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
“Selain itu, Malaysia juga akan menzahirkan komitmen penuhnya dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk dengan mengadakan kerjasama pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.
“Penyertaan Menteri Luar Negeri ke Sesi Tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN