PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan serta menyokong usaha kemanusiaan susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar tengah dan utara Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan prihatin terhadap bencana tersebut yang mengakibatkan kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok, dan kawasan sekitarnya, selain kehilangan banyak nyawa.
“Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam yang terperangkap, serta jumlah korban yang semakin meningkat amat membimbangkan.
“Kami juga sedang memantau dengan rapi situasi di selatan Yunnan, China, yang turut terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama jiran-jiran dan negara anggota ASEAN yang terkesan.
“Kami mengambil maklum pengisytiharan darurat oleh pihak berkuasa Myanmar serta penetapan Bangkok sebagai kawasan bencana oleh kerajaan Thailand.
“Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mangsa yang terjejas,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan kesejahteraan mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal.
“Dalam saat duka ini, semoga proses pemulihan berjalan dengan lancar, dan semoga kekuatan hubungan serantau kita membawa harapan serta pemulihan kepada semua yang terjejas,” katanya.
Gempa bumi: Tiada rakyat Malaysia terjejas di Yangon, Bangkok
Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan tercedera dan terjejas susulan kejadian dua gempa bumi kuat yang melanda Myanmar hingga menyebabkan kecederaan serta kemusnahan harta benda di kawasan terlibat.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower turut ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.
Gempa bumi pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.
Gempa kedua dengan magnitud 6.4 pula berlaku tidak lama selepas itu di mana gegaran susulan daripada kedua-dua gempa turut
dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.
Menurut laporan media tempatan di Myanmar, darurat telah diisytiharkan di Wilayah Sagaing,
Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan Naypyidaw.
Perdana Menteri Thailand turut mengisytiharkan darurat di Bangkok sementara penilaian tahap kerosakan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. – UTUSAN