Malaysia sambut Aidilfitri esok

Malaysia sambut Aidilfitri esok

Syed Danial Syed Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri esok, 31 Mac, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio tempatan sebentar tadi.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 31 Mac 2025,” katanya.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Antara lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka dan Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan.

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan adalah di Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya; serta Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN