Malaysia salur RM10 juta bantu Myanmar

Malaysia salur RM10 juta bantu Myanmar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Malaysia memperuntukkan RM10 juta untuk disalurkan kepada Myanmar sebagai permulaan susulan bencana gempa bumi yang melanda negara itu yang mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan besar sejak Jumaat lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai menifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025, beliau mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar minggu depan.

Katanya, lawatan itu bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini.

“Malaysia menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan Negara-Negara Anggota Asean amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini.

“Keutamaan Asean dalam memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam semangat perpaduan Asean, Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Asean bagi menyelaras bantuan yang diperlukan oleh Myanmar.

Selain itu, katanya, ia bagu memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak bermakna kepada mangsa-mangsa yang memerlukannya.

“Malaysia kekal komited umemperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan Asean yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama dan solidariti,” katanya.

Kelmarin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter antara yang terbesar menggegarkan negara Asia Tenggara sekali gus melumpuhkan perkhidmatan lapangan terbang, jambatan dan lebuh raya khususnya di Myanmar.

Setakat ini, jumlah kematian yang direkodkan meningkat kepada 1,644 nyawa namun angka itu dijangka terus meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya