PETALING JAYA: Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi firma global meskipun ketegangan perdagangan antarabangsa semakin meningkat, didorong oleh kestabilan politik yang bertambah baik serta dasar berorientasikan pertumbuhan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Penganalisis BIMB Securities, Zafri Zulkeffeli, berkata keyakinan pelabur terhadap Malaysia jelas terbukti dengan rekod jumlah projek pembuatan tertinggi dalam sejarah pada 2024, iaitu sebanyak 1,108 projek.
Beliau menjelaskan, insentif berasaskan teknologi tinggi yang diperkenalkan menerusi NIMP 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), daya tahan rantaian bekalan serta pemulihan permintaan global menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor pembuatan negara.
“Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk terus mendapat manfaat daripada pengembangan industri elektronik, automotif dan sektor berkaitan, sekali gus menunjukkan potensi pertumbuhan berterusan.
“Namun, ketidakpastian perdagangan dan turun naik harga komoditi kekal sebagai risiko luaran yang perlu diberi perhatian,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, Zafri turut menekankan bahawa pasca pandemik Covid-19, sekitar 82 peratus daripada pelaburan dalam sektor pembuatan adalah daripada pelabur asing.
“Menariknya, pelaburan asing kekal melebihi 60 peratus walaupun semasa penggal pertama Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Sementara itu, Penganalisis BIMB Securities, Amiratul Husna, berkata jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencapai rekod tertinggi sebanyak RM378.5 bilion pada 2024.
Beliau berkata, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pelaburan tempatan yang mencatat rekod baharu sebanyak RM208.1 bilion, manakala pelaburan asing kekal melebihi RM100 bilion untuk tahun keempat berturut-turut.
“Sektor pembuatan terus menjadi tarikan utama pelaburan, dengan nilai melebihi RM100 bilion, di mana hampir RM90 bilion daripadanya datang daripada pelabur asing.
“Lebih menarik, 85 peratus daripada pelaburan yang telah diluluskan sudah direalisasikan, dengan jangka masa dianggarkan antara 18 hingga 24 bulan bagi projek pembuatan dan enam hingga 12 bulan bagi perniagaan berasaskan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN