KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah dalam dunia semikonduktor apabila menjalinkan kerjasama dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), Arm Limited bagi mengubah sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyifatkan ia sebagai lonjakan asas dalam landskap teknologi Malaysia serta permulaan gelombang semikonduktor kedua negara.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberi oleh pihak pengurusan tertinggi Arm terhadap negara kita.
“Hari ini, kerjasama Malaysia dengan Arm menandakan permulaan gelombang semikonduktor kedua. Ini adalah perubahan asas dalam pendekatan kita terhadap semikonduktor dan teknologi yang akan membentuk masa depan kita.
“Melalui kerjasama menyeluruh dengan Arm, kita telah merangka salah satu pelan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah disaksikan Malaysia, untuk menerajui pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) buatan Malaysia. Cip ini akan direka bentuk, dibuat, diuji, dan dipasang di sini sebelum dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Majlis Kerjasama Strategik Malaysia-Peneraju Global Semikonduktor bagi Pembangunan Cip AI di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Rene Haas.
Arm Limited berperanan sebagai arkitek, pembangun dan pelesen bagi penyelesaian hak harta intelek (IP) yang berprestasi tinggi, kos efektif dan cekap tenaga.
Kerjasama tersebut sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara,sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.
Dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini, menjadikannya hab utama di ASEAN.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa semua pihak dan agensi dikerahkan bagi memberi latihan yang cukup dari segi keterampilan supaya dapat memanfaatkan semikonduktor gergasi seperti ARM.
“Tengah hari tadi (semalam), saya ke MOSTI kita bicara soal keperluan seluruh jentera kerajaan, universiti, pusat pendidikan, industri, agensi Sains harus digerakkan dan dikerahkan untuk memastikan anak-anak kita mendapat latihan yang cukup, dari segi kelayakan, kemahiran dan memanfaatkan syarikat semi konduktor gergasi seperti ARM,” katanya.
Anwar turut berkata, kerjasama itu mempunyai tiga ciri utama iaitu pertama, membangunkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), bagi mewujudkan saluran bakat yang kukuh untuk industri semikonduktor dalam negara.
“Memberikan syarikat Malaysia yang terpilih akses istimewa kepada teknologi dan portfolio harta intelek (IP) canggih ARM.
“(Ketiga) memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan, bagi menyokong matlamat negara dalam pengeluaran cip yang lebih maju di Malaysia,” katanya.
Selain itu katanya, kerjasama ini turut dijayakan beberapa kementerian terlibat termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai pemudah cara dan memuktamadkan perjanjian, Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi yang menyelaraskan insentif kewangan serta memastikan kesan ekonomi yang mampan dan jangka panjang. – UTUSAN