PETALING JAYA: Hampir lima tahun Warung Makan Sahabat yang terletak di Chow Kit di sini menyediakan makanan percuma sepanjang Ramadan kepada golongan yang kurang berkemampuan di ibu negara.
Premis dua tingkat yang kini dikendalikan oleh Yayasan Amal Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan bertujuan membantu golongan yang memerlukan dalam menikmati juadah berbuka puasa.
Pengurus Besar yayasan itu, Mohd. Khairul Azman Md. Daud berkata, istimewanya di pusat komuniti ini, makanan disediakan secara panas-panas pada setiap hari dengan menu berbeza dalam kuantiti hampir 200 bungkus sehari.
“Tahun lepas kita sediakan 300 pek sehari dan tahun ini kita kurangkan kepada 190 bungkus bagi mengelakkan pembaziran kerana banyak tempat yang memberikan makanan percuma kepada orang ramai seperti di masjid dan surau.
“Kita meletakkan syarat, mereka mesti solat berjemaah kalau hendak ambil makanan. Kita juga anjurkan tazkirah sebelum makanan diagihkan serta solat tarawih dan moreh. Makanan juga disediakan untuk semua golongan termasuk bukan Islam,” katanya ketika ditemui di premis itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairul Azman berkata, usaha murni melibatkan tujuh sukarelawan sepenuh masa sudah bermula sejak 2020 bagi membantu gelandangan dan golongan asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pemberian makanan percuma tidak terhad pada bulan puasa, tetapi pada hari biasa.
“Kalau hari biasa kita agihkan selama empat hari iaitu pada Ahad, Rabu, Khamis dan Jumaat sebanyak 200 bungkus sehari. Pernah juga masa mula-mula dulu mencecah 500 bungkus sehari. Kebiasaannya, kita agihkan pada waktu Zuhur kecuali pada hari Jumaat.
Bagi Abdullah Arof, 61, dia bersyukur kerana dapat menikmati hidangan berbuka puasa secara percuma. Bekas pesara tentera yang tinggal bersendirian di Chow Kit itu berkata, sudah menjadi rutin harian untuk beratur mendapatkan makanan di lokasi berbeza.
“Alhamdulillah, dapat jimat duit belanja setiap hari memandangkan saya hanya menerima bantuan sebanyak RM500 dari Baitulmal dan selalu membeli makanan di luar.
“Saya mempunyai empat anak semuanya sudah bekerja, tetapi tidak mahu menyusahkan mereka. Jadi, saya pilih tinggal bersendirian dan menyewa bilik,” katanya. – UTUSAN