KUALA TERENGGANU: Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad yang dijadualkan berlangsung di Masjid Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu, dekat sini, petang esok dipindahkan ke lokasi lain.
Program tersebut adalah anjuran anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi program itu dipindahkan ke kawasan lapang bersebelahan masjid tersebut bagi memastikan majlis berjalan lancar seperti dijadualkan.
“Program tetap diteruskan mengikut jadual asal. Namun, disebabkan pembatalan kebenaran telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), lokasinya terpaksa ditukar ke kawasan lapang bersebelahan masjid,” menurut kenyataan itu.
Mengikut jadual asal, Ahmad Zahid akan menunaikan solat tarawih dan moreh di Masjid Kuala Telemong, namun program tersebut terpaksa dibatalkan berikutan arahan JHEAT.
Petang tadi, tular dalam media sosial mengenai kekecewaan beberapa pihak berikutan pembatalan itu yang didakwa bermotif politik kerana dilakukan pada saat-saat akhir.
Beberapa video dimuat naik memaparkan persiapan khemah program di tapak lokasi yang telah pun siap hampir 100 peratus.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M. Rozi Bidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai pembatalan tersebut.
Melalui edaran surat rasmi bertarikh 7 Mac 2025 memaklumkan, pembatalan itu melibatkan Masjid Kampung Kuala Akob dan Masjid Haji Abdul Rahman Limbong di Kuala Telemong, Hulu Terengganu.
“Dukacita dimaklumkan, permohonan pihak tuan untuk menggunakan pekarangan masjid tersebut tidak dapat dipertimbangkan,” menurut surat tersebut yang dialamatkan kepada Pengarah FELCRA Negeri Terengganu.
Surat itu turut dimajukan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), serta Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, alasan terperinci mengenai penolakan permohonan tersebut tidak dinyatakan dalam surat berkenaan. – UTUSAN