'Majlis Ramadan perlu sederhana, harga kotak lagi mahal dari kurma’

‘Majlis Ramadan perlu sederhana, harga kotak lagi mahal dari kurma’

ANWAR IBRAHIM ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Mac 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penganjuran majlis rasmi kerajaan bagi meraikan kedatangan Ramadan sama ada di peringkat kementerian atau jabatan perlu dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kementerian dan agensi kerajaan juga tidak harus memewahkan acara berbuka puasa, sebaliknya berkongsi rezeki bersama masyarakat kurang bernasib baik bagi memastikan roh bulan mulia itu dihayati sebaiknya.

Beliau berkata, pemberian sumbangan seperti kurma juga tidak perlu berlaku pembaziran apabila harga perkakasan kotak lebih mahal daripada kurma itu sendiri.

“Saya gesa kepada majlis rasmi kerajaan pada bulan Ramadan ini sama ada dikendalikan kementerian atau jabatan supaya lebih sederhana makan dan minum agar dapat menghayati roh dan semangat Ramadan.

“Saya juga perhatikan kadang jabatan dan agensi kerajaan, tentu akan memulakan dengan beri sumbangan, itu digalakkan, tetapi saya lihat kadang-kadang perkakasan itu agak berlebih, kotak sangat indah, nak isi cuma kurma.

“Kalau harga kotak lebih mahal daripada kurma, jadi bagi saya ia satu pembaziran, mahu campak ke mana (kotak yang indah),” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Mac 2025, di sini hari ini.

Anwar pada masa sama mengingatkan kepada kementerian dan agensi kerajaan agar tidak mempamerkan kemewahan seperti pembelian kotak sumbangan mewah, sebaliknya dana itu digunakan untuk memberi lebih manfaat kepada individu memerlukan.

Menurut Perdana Menteri, Ramadan bukan sahaja mengukuhkan keyakinan ibadat seseorang kepada Allah SWT tetapi juga memupuk integriti, disiplin, kejujuran dalam kehidupan.

“Tentunya dimensi kemanusiaan atau manusiawi supaya kita lebih insaf dan bukan hanya mewahkan acara iftar.

“Jadi, lebih baik hal ini diperhatikan, tidak perlu sangat menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat yang lebih, saya ingatkan kepada semua sebagai peringatan,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga membuat rumusan kedatangan Ramadan sebagai masa untuk memberi lebih tumpuan kepada Al Quran berikutan ia merupakan bulan turuNnya kitab suci itu.

“Saya rumuskan Ramadan, peringatan untuk kita semua, tumpu lebih sedikit kerana bulan ini turunya Al Quran, jadi perlu ambil sedikit peringatan supaya membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesej Al Quran.

“Ini kerana, Al Quran merupakan petunjuk kepada manusia agar dapat menentukan pertimbangan antara baik dan buruk,” jelasnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya