Majikan ingkar gajikan PATI terus diburu

Majikan ingkar gajikan PATI terus diburu

KENNITH Tan Ai Kiang (dua dari kanan) pada sidang akhbar semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan kini fokus  ‘memburu’ majikan yang didapati masih berdegil menggajikan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, majikan yang ingkar tersebut perlu menyedari bahawa tindakan mereka bukan hanya boleh dikenakan kompaun malah berdepan tindakan mahkamah.

Kata beliau, tindakan tegas itu juga susulan pihaknya sering mendapat aduan mengenai lambakan PATI di negeri ini.

“Memandangkan berlakunya peningkatan dan bilangan PATI, tahun ini kami akan lebih fokus kepada memperbanyakkan tindakan penguatkuasaan ke atas majikan. 

“Sepanjang tahun lalu, kami telah menjalankan sebanyak 874 operasi penguatkuasaan di negeri ini di mana daripada sejumlah 7,746 PATI diperiksa seramai 2,093 daripada mereka ditahan selain 58 majikan yang diambil tindakan serupa.

“Untuk tiga bulan pertama sehingga 19 Mac ini sahaja, daripada 8,358 Pati diperiksa, seramai 393 Pati dan 16 majikan ditahan menerusi 159 operasi yang dijalankan.  

“Apabila kita menangkap PATI, tetapi tidak tangkap majikan tidak boleh juga kerana selagi ada majikan yang menggajikan pekerja dalam kalangan PATI selagi itulah lambakan pekerja tanpa izin berniaga dan bermastautin secara tetap di negeri ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sini, semalam.

Menurut Kennith Tan, beliau percaya masih ada lagi majikan yang cuba mengelakkan diri daripada membayar levi bagi mendapatkan pekerja asing.

“Mereka juga tidak bertanggungjawab terhadap pekerja yang dibawa masuk dan melanggar peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, daerah Seremban dan Port Dickson masih lagi menjadi ‘sarang’ PATI berdasarkan statistik tahun lalu. 

“Dalam tempoh setahun itu, seramai 1,655 bilangan tangkapan PATI direkodkan di Seremban manakala 220 orang ditangkap di Port Dickson,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya