GEORGE TOWN : Seramai 223 pesakit yang menerima rawatan di Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerima saguhati khas Aidilfitri sebanyak RM700 seorang, semalam.
Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dalam satu majlis di PHZ Lebuh Buckingham di sini.
Menurut Mohamad, sumbangan itu diberi sebagai tanda keprihatinan MAINPP terhadap pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis ketika ini.
Katanya, secara keseluruhan, sebanyak RM156,100 diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut yang melibatkan pesakit-pesakit daripada lapan cawangan Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP di seluruh Pulau Pinang.
“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit, terutamanya dalam menanggung kos rawatan (yang tinggi) selain sebagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri serta MAINPP sentiasa komited untuk terus menjaga kebajikan pesakit yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Untuk rekod, MAINPP memperuntukkan hampir RM7 juta setiap tahun bagi menanggung kos pengurusan, operasi dan rawatan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang secara percuma menerusi penubuhan PHZ. – UTUSAN